CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Jumaat, 25 November 2011

Cerpen Rabiyatul Iman



AKU ingin menjadi pendampingmu yang setia sepanjang hayatmu, rayu gadis itu dalam tulisannya.
Aku lipat surat biru itu. Kuletakkan di bawah bantal. Setiap malam setelah melunaskan tugasku, aku akan melihat kembali surat itu dan membacanya sepenuh hati. Kertas biru lembut itu semakin kusam lantaran surat itu sudah terlalu sering kubelek dan kubaca. Mencari makna sebenar. Isi suratnya tidaklah terlalu panjang sehingga aku sudah dapat menghafal isinya. Tetapi, aku sangsi dengan keinginan-keinginan yang dinyatakannya. Benarkah dia setulus itu? Bagiku, bukan mudah mencari pendamping yang setia dalam zaman serbanya moden alaf 21 ini. Tingkahku sendiri.
Aku percaya kau adalah lelaki terbaik buatku. Aku tak peduli kalau kau berasa ganjil dengan sikapku yang melamarmu. Lagipun, dalam zaman moden ini tidak salahkan kalau gadis yang melamar lelaki. Maka, aku tidak berasa bersalah melamarmu menjadi suamiku. Jadi, Haqeem, apakah kau sudi menjadi suamiku?
Kali pertama aku melihatnya sedang memasuki ruang pejabat tempatku bekerja dengan senyuman manisnya dengan gaya keanak-anakannya. Ketika itu, aku sedang sibuk memerhatikan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan pejabat tempatku bekerja. Dia berbicara sambil menangis dan memberitahu telefonnya sering sahaja digunakan oleh pihak lain. Gadis itu suka sahaja bermain dengan kata-kata, entah benar entah tidak, bisikku dalam hati.
”Ini bukan nombor yang saya kenali. Orang-orang kampung juga tidak mengenali nombor ini. Mungkin nombor ini adalah nombor orang yang menipu saya. Saya tidak mahu membayar bil-bil kalau bukan nombor yang saya kenali!” katanya menunjukkan kedegilannya. Aku hanya menjadi pendengar akan kata-kata penerangannya.
Benarkah dia tertipu? Itulah yang menyebabkan dia datang ke pejabat telekomunikasi ini untuk membuat laporan. Para pegawai tempatku bertugas ini memberikan layanan yang baik kepadanya. Demi untuk menyelamatkan seorang pelanggan yang menggunakan talian telefon selular jenama mereka. Katanya, telefonnya digunakan untuk membantu orang-orang kampung yang kesusahan atau ada keperluan. Aku hanya berdiri dengan telinga tegang sambil mendengar hujahnya.
Dia duduk sopan dengan baju kurung birunya dan bertudung labuh berwarna kelabu. Namun, mulutnya petah berbicara sejak masuk ke pejabat ini. Gadis gila, desahku sendirian sambil meluruskan pinggangku yang duduk sejak dua jam lalu.
Dia berlalu lantas melihat aku sekilas. Aku hanya tersenyum. Biasa, aku harus melayani sesiapa sahaja dengan senyuman. Sudah menjadi tugasku menghormati setiap pelanggan yang datang ke ruang pejabat awam ini.
Untuk kali kedua, aku bertemu lagi dengannya. Mungkin kerana kesan senyuman manisnya tempohari menyebabkan aku masih mengingatinya. Dia berdiri di sisi jalan raya dan matanya tajam memandangku.
Nampaknya dia bertambah kerap pula ke bandar ini. Kali ini aku hendak membeli makanan di sebuah gerai berdepan dengan seberang jalan tempatku bertugas. Perutku melentus-lentus laparnya. Usah dikirakan bunyi gendang di perutku saat ini. Aku memang lapar sekali.
Waktu itu aku baru sahaja melintas jalan di jalan raya yang sedang sibuk dengan kereta. Biasalah, waktu tengahari, orang awam berpusu-pusu hendak keluar mencari makan. Kulihat dia sedang asyik memandangku dan tangannya penuh dengan bakul-bakul plastik berisi barangan. Aku kasihan juga melihatnya.
Ringan sahaja mulutnya menegurku. Aku kekagetan sekali. Gadis ini berani pula menegur seseorang yang tidak dikenali.
”Maafkan saya saudara. Bolehkah saya meminta bantuan? Kebetulan tidak ada bas mini yang mengambil penumpang sekarang ni. Bolehkah saya dihantarkan ke suatu tempat, tidak jauh dari sini. Oh ya, kenalkan saya Rabiyatul Iman.” Katanya tanpa segan. Senyumnya meluru ke mukaku. Aku pula membalasnya dengan senyuman yang bagaikan ditampal dengan paksaan.
`Eh, gadis ini berani-beraninya! Minta hantar lagi! Tidak ditahunya aku ini sedang memikir-mikir kalau-kalau minyak motorku sampai hingga tiga hari untuk ulang alik ke rumah dan pejabat! Ni, dia minta hantar lagi! Cukupkah minyak motorku itu? Kebetulan minyak petrol sudah naik sebulan yang lalu. Tetapi gajiku tidak pernah pula dinaikkan. Elaun pun belum dibayar. Harga barangan pun naik 100%. Aduh, gawat juga kalau menghantar gadis ini lagi! Tidak takutkah dia kalau aku ni penjahat yang hendak mempengapa-apakannya?` Bisikku sendiri.
”Saya akan bayar minyak motornya nanti, jangan susah!” katanya itu seolah dia tahu apa yang bergolak dalam perasaanku saat itu. Aku mengangguk.
Makanan di gerai tepi jalan langsung belum dapat kujamah demi melihat dia menegurku. Matanya yang jernih itu sempat kutangkap dengan mataku yang sedari tadi kularikan dari memandangnya.
”Saya mahu membawa barang-barang ini ke dewan besar tu!” katanya memanjangkan bibirnya ke hujung sana seolah-olah dewan besar yang dimaksudkannya itu sangat dekat.
`Apakah yang boleh kukatakan? Waktu kerjaku sedang berjalan. Aku ke sini hendak membeli makanan, tidak sampai pun sepuluh minit. Kalau menghantar dia tentunya lebih setengah jam. Apakah yang hendak kukatakan kepada ketua tempatku bekerja kalau aku tidak bertugas dalam setengah jam? Perlahan, kuhela nafas panjang dan aku cuba mengangguk. Entah kenapa, aku bagaikan dirasuk untuk bersetuju membantu gadis ini.`
Kuambil motorsikalku. Di situlah kami berkenalan. Walaupun suaranya timbul tenggelam oleh deruman motorsikalku dan kenderaan di sekitarnya, namun suaranya tetap kudengari. Dia masih belajar di sebuah maktab perguruan di bandar ini dalam pengajian Bahasa Melayu. Dia suka menjalankan kerja-kerja sukarelawan di sekitar Tawau dan Semporna. Juga, mendekati orang-orang yang ditimpa kesusahan. Di lain waktu yang bersisa, dia menulis cerpen-cerpen dan dihantar ke suratkhabar di negeri ini dan di peringkat nasional.
”Nama kamu siapa? Kalau boleh saya ingin tahu,” Soalnya sambil mengeratkan pautannya di pinggangku, mungkin dia sendiri tidak biasa menaiki motor burukku ini. Atau, aku membawa motorsikalku terlalu laju.
”Saya Haqeem. Saya asal dari Kota Kinabalu tetapi ayah saya berasal dari sini. Saya tinggal dengan datuk dan nenek di Kampung Air.” kataku. Dia diam sahaja, tidak mencelah ketika aku bercakap. Aku juga memberitahunya, aku baru sahaja lulus dari Universiti Malaysia Sabah tetapi belum mendapat pekerjaan tetap. Biasa, kelulusan tinggi belum menjamin pekerjaan di sini.
”Bagus juga begitu. Sekarang adalah waktunya untuk kita semua bersatu padu bagi membangun negeri kita sambil membuat kebajikan. Jangan terus menyesal kalau kau belum dapat pekerjaan tetap. Usiamu masih muda, masih boleh berusaha membuat banyak kebaikan dan kebajikan! Hidup ini pun adalah untuk membuat sebanyak-banyak kebaikan, baru dapat masuk syurga kan!” katanya penuh semangat. Aku mengangguk mendengar falsafah positifnya. Jarang kudengar gadis yang begitu optimis.
Setelah kejadian itu, aku dan Rabiyatul Iman tidak terlalu akrab. Melainkan dia meminta aku membantu apa-apa yang patut di tempat-tempat berlakunya kemalangan. Aku akan membantunya kalau kebetulan aku tidak bertugas. Lama-kelamaan, rakan-rakannya yang lain pun menelefon aku kalau mereka memerlukan bantuan. Dari kenalannya aku tahu banyak perkara mengenai dirinya.
”Dia anak perempuan sulung dalam keluarganya. Dia kuat semangat,”
”Dia dari keturunan baik-baik. Moyangnya pernah menjadi orang kuat politik di tanah seberang. Ada seorang pak ciknya pernah menjadi mayor.”
”Moyangnya mati ditembak. Moyang perempuannya pernah diculik dan mati oleh penculik dari seberang. Ayah dan ibunya juga pernah diculik dan dibawa ke Selatan Filipina. Tetapi sudah dapat diselamatkan dengan bantuan kerajaan Malaysia sedikit masa lalu.”
”Ibunya berjualan kuih-muih di pasar. Ayahnya bekas guru.”
”Rabiyatul Iman penulis yang prolifik. Sekarang, dia sedang menulis novel kedua. Tak lama lagi novel pertamanya bakal terbit.”
”Membuat kebajikan, dia tak pernah diberikan gaji. Namun, namanya naik melonjak. Disayangi semua orang di sini!”
Aku hanya menjadi pendengar yang setia. Tidak memberikan sebarang komen terhadap cerita-cerita yang diberitahukan kepadaku. Bagiku, ia hanya maklumat biasa kalau aku mengenali seseorang. Tidak ada kelebihannya, hanya sekadar pengetahuanku.
Namun, sesuatu yang tidak begitu kusukai mengenai Rabiyatul Iman ialah dia terlalu berani dan aktif dalam aktiviti kebajikannya. Wajahnya muncul di suratkhabar. Malah, dia selalu bertindak sendirian. Aku sering menasihatinya agar dia tidak terlalu aktif dalam bidangnya yang satu itu. Aku bimbang pelajarannya akan terganggu dan kehidupan peribadinya juga diteliti.
”Aku berniat membantu manusia sesama manusia. Aku menyampaikan kebenaran dan bantuan yang patut kuberikan.” katanya. Matanya bersinar memandangku.
”Tapi, kau tu perempuan. Lagi, kau masih belajar. Kau seharusnya menumpukan waktu untuk pelajaranmu.” Nasihatku pada suatu hari. Dia hanya tersengih-sengih memandangku.
”Terima kasih nasihatmu. Kita harus berani menempuh apa sahaja cabaran kalau kita memang sudah bertekad melakukan sesuatu kebajikan.” Katanya. Aku berfikir sesaat. Ada benarnya juga kata-katanya itu.
”Asal kau tahu sahaja. Aku takut sesuatu berlaku kepadamu.” balasku.
Aku menganggap Rabiyatul Iman sebagai adikku sendiri. Sama seperti Adawiyah dan Maisharah, adik-adik kandungku.
Sejak hari itu, aku tidak bertemu lagi dengan Rabiyatul Iman. Mendengar suaranya juga tidak. Aku juga meneruskan kerjaku itu di samping melamar kerja-kerja yang ada di suratkhabar atau secara online di internet yang sesuai dengan kelulusanku. Aku tidak mahu juga terus-terusan bekerja di syarikat itu dengan gaji harian. Suatu hari aku harus menjawat jawatan yang baik sesuai dengan kelulusanku.
Sebulan, dua bulan, tiga bulan aku tidak berjumpa dengannya. Aku tidak terasa apa-apa. Aku hanya menganggap dia sebagai adikku. Mungkin dia sibuk dengan pelajarannya menyebabkan dia tidak mahu menghubungiku. Atau dia sibuk menulis novelnya menyebabkan masanya tersita untuk itu sahaja. Aku tidak peduli.
Namun, hari ini terlalu mengejutkan aku. Aku menerima sepucuk surat daripadanya.
Aku ingin menjadi pendampingmu yang setia sepanjang hayatmu Haqeem.
Aku percaya kau adalah lelaki terbaik buatku. Aku tak peduli kalau kau berasa ganjil dengan sikapku melamarmu. Lagipun, dalam zaman moden ini boleh saja gadis melamar lelaki menjadi suaminya. Maka, aku tidak berasa bersalah melamarmu menjadi suamiku. Jadi, Haqeem, apakah kau sudi menjadi suamiku?
Sejujurnya aku tidak memiliki perasaan yang istimewa kepada Rabiyatul Iman. Malah, aku tidak pernah memberikan dia harapan. Aku hanya bersikap baik kepadanya. Menghulurkan bantuan yang sesama manusia perlukan. Aku hanya bersimpati, kagum terhadap dirinya yang tidak pernah berhenti-henti melakukan kebajikan kepada orang lain di sekelilingnya. Aku tidak boleh menjadi sebaik dia.
Aku sendiripun memang menaruh hati kepada seorang gadis yang lain. Gadis yang sudah lama kukenali. Kukenali sewaktu aku belajar di universiti dahulu. Dia bukan Rabiyatul Iman tetapi dia adalah Nurul Hana. Aku tertarik kepada keperibadian dan keayuannya tentunya. Hujung bulan ini aku berniat ke Kota Kinabalu dan melamarnya menjadi isteriku. Keluargaku juga sudah tahu akan niatku itu.
Namun, bagaimana kusampaikan hal ini kepada Rabiyatul Iman yang mengharapkan aku? Dadaku bergegar hebat, seolah dilanda malapetaka pula.
* Dan, malapetaka di hatiku ini tidak kusangka menjadi malapetaka pada pagi ini di Kampung Air Semporna.
Aku, keluarga ayahku yang tinggal di sini dan seluruh masyarakatnya semuanya panik dan hilang punca. Malapetaka itu telah memusnahkan semua harta, rumah datuk dan nenek, tempat aku menumpang tinggal di sini. Kebetulan pagi tadi aku sempat memasukkan surat Rabiyatul Iman ke dalam poket seluarku. Mujurlah!
Entah mengapa aku begitu resah sekali mengingati Rabiyatul Iman yang melamar aku. Aku begitu menyukai Nurul Hana tetapi aku tidak mampu melupakan Rabiyatul Iman, gadis berkulit hitam manis, bibirnya agak tebal dan senyumannya mekar di wajah. Gadis itu gigih dan hebat, ah, mungkin aku terlalu berlebihan dalam memujinya. Nurul Hana? Wajah putih itu menari-nari dengan senyumannya manisnya di depanku. Dia seorang gadis yang bersopan santun, pemalu dan lemah lembut. Bagaimana kalau aku diberikan peluang memilih? Siapakah yang seharusnya kupilih? Hatiku menjadi tidak senang jadinya. Bukankah aku sudah meletakkan Nurul Hana di puncak nurani? Atau, aku harus memilih kedua-duanya?
”Lariiiiiiii! Api!!!! Api!!! Cepat selamatkan diriiii!”
Aku terkejut sekali dengan teriakan orang kampung yang penuh cemas dan ketakutan. Kulihat di depanku semua orang berlari meninggalkan rumah dengan api yang besar sudah menjilat sebahagian kawasan perumahan di Kampung Air itu. Waktu itu, aku masih menjinjing sebuah plastik yang berisi kuih-muih, lato dan ikan tongkol bakar untuk santapan pagi dan makan tengahari datuk dan nenek. Kebetulan, kedua-dua orang tua itu tidak boleh makan lambat, jadi aku harus awal membelikan makanan mereka.
Aku terkejut dengan teriakan orang kampung. Aku gugup. Panik. Apa aku tidak tersalah lihat?
Tidak ada waktu untuk memasuki kawasan rumah datuk. Separuh rumahnya sudah dimakan api besar. Api sudah menjulang naik berkepul-kepul dengan asap hitam dan putih. Bahang panas hampir membakar mukaku. Terdengar letupan beberapa kali. Aku pun mencari nenek dan datuk kalau aku terjumpa mereka dalam himpitan manusia-manusia cemas dan hampir histeria itu. Aku tidak melihat bayangan mereka dalam ratusan manusia yang sudah berlari meninggalkan kawasan perumahan itu. Aku juga harus menyelamatkan diri. Aku takut tubuhku bakal terkorban kalau aku terus mencari nenek dan datuk. Selebihnya aku berserah kepada Tuhan.
Kini, datangkah Rabiyatul Iman membuat kebajikan ketika kami memerlukan bantuan? Soalku sendiri dalam tengkumus harap.
Asap masih menakluk pandangan kami. Aku terkapar dan gugur seketika, tidak tahan dengan asap hitam yang memualkan. Aku pitam seketika.
”Di manakah aku?”
Di rumah rehat kami ditempatkan rupanya. Aku batuk berkali-kali setelah tersedar. Asap hitam itu menerkam kerongkonganku dan masuk ke dalam paru-paruku. Barang-barang belianku tidak tahu di mana. Nanar mataku melihat rumah-rumah di Kampung Air yang sudah tinggal tunggul-tunggul hitam. Hanya sebuah masjid berdiri di tepinya. Masjid itu masih kukuh tidak dijilat api. Pasukan bomba baru datang setelah api yang menyala tadi beransur padam. Padam apabila tidak ada apa-apa yang hendak dibakar lagi.
Pertama kali dalam seumur hidupku aku berasa sesak dan sangat tersiksa. Apakah yang telah berlaku kepada datuk yang kakinya hilang sebelah? Nenek Mariam yang masih pening-pening tadi?
Rabiyatul Iman datangkah menghulurkan bantuan? Ah, kenapa aku sangat mengharapkan Rabiyatul Iman menghulurkan kebajikan saat ini?
Kuseluk poket seluarku. Surat Rabiyatul Iman telah pun renyuk dan sekujur pedih bertaut di dalamnya. Entah kenapa duka merambat nuraniku.
***
Keluarga ayah iaitu datuk dan nenek masih trauma dengan keadaan yang menimpa. Aku sendiri masih tidak mampu melupakan api yang menjulang tinggi dan membesar dalam sekelip waktu itu. Kami masih ditempatkan di rumah rehat bersama dengan mangsa-mangsa kebakaran yang lain. Dua puluh lima orang kehilangan hak tempat tinggal dan harta seluruhnya. Belum lagi dikira ahli keluarganya yang lain. Khabarnya, kerajaan akan menggantikan rumah-rumah yang terbakar itu dengan rumah-rumah baru sedikit masa nanti. Syukurlah.
Banyak juga orang menghulurkan bantuan. Namun aku tidak melihat di manakah Rabiyatul Iman menghulurkan kebajikannya pada saat aku terduga begini. Kenapa Rabiyatul Iman mendiamkan dirinya saat aku dirundung malapetaka begini? Di manakah dia? Apakah dia tidak mendengar berita yang mewartakan mengenai kebakaran di sini? Marahkah dia tatkala aku tidak membalas surat cintanya? Bisikku redam memikirkannya. Entah mengapa aku begitu melankolik sekali, padahal aku lelaki yang gagah dan tabah kukira.
Kulihat orang ramai berkerumun. Aku menghampiri mereka.
”Pada waktu kejadian, Rabiyatul Iman sedang tidur di rumahnya, kebetulan dia bercuti di sini. Pada waktu petang barulah dia akan kembali ke maktab. Sayang, dia ditemui rentung di biliknya. Ayah dan emaknya kebetulan keluar menjual di pasar. Nasibnya tidak baik, mungkin dia terlalu penat menyebabkan dia tidak sedar akan keriuhan orang kampung menyelamatkan diri dari nyalaan api.” jelas jiran dan sahabat baiknya, Zaharah. Bulat mataku mendengarnya. Semua orang kampung sudah berkerumun di sisi Zaharah. Mereka hendak mendapatkan maklumat mengenai gadis berani itu. Sedu-sedan orang ramai menjamu penglihatanku.
”Oh, tak sangka! Dia juga tinggal di sini? Benarkah?” Zaharah yang sudah merah matanya hanya mengangguk. Mataku marak menangkap kata-kata Zaharah.
”Rabiyatul Iman!” Jeritku tegang.
Sesungguhnya aku berharap dia masih bernyawa dan bersama-sama denganku di saat aku kesusahan begini. Rupanya dia lebih parah daripadaku. Dia hilang nyawa dan hilang harapannya untukku. Rahangku mengejang, pandanganku berasap sama seperti asap tebal yang memusnahkan tempat tinggal kami. Bayangan wajah Rabiyatul Iman, ketabahannya, keberaniannya, kegigihannya, kerajinannya dan segala aksinya terlayar kemas di pandanganku.
Kulihat kembali suratnya yang hampir renyuk. Sudah kuhafal isinya. Rupanya isi suratnya juga turut termuat di dalam novelnya yang baru diterbitkan sebulan lalu.
Aku ingin menjadi pendampingmu yang setia sepanjang hayatmu Haqeem.
Aku percaya kau adalah lelaki terbaik buatku. Aku tak peduli kalau kau berasa ganjil dengan sikapku melamarmu. Lagipun, dalam zaman moden ini tidak salahkan kalau gadis yang melamar lelaki. Maka, aku tidak berasa bersalah melamarmu menjadi suamiku. Jadi, Haqeem, apakah kau sudi menjadi suamiku?
Lalu, dalam susah payah kuraih tangannya, kugenggam jari-jemarinya dan kukucup dahinya perlahan. Rabiyatul Iman menunduk. Kuucapkan sepenuh keikhlasanku kepadanya. Ucapan itu tidak ada tertulis di dalam novelnya yang bertajuk, ”Rabiyatul Iman Kembali”. Ucapan itu milikku.
Aku ingin menjadi suamimu walaupun aku bukan lelaki terbaik untukmu.
Aku percaya kau boleh menjadi pendamping setiaku sepanjang hayatku. Kau adalah gadis yang berani, tabah dan berbudi tinggi yang pernah kutemui dalam hidupku. Rabiyatul Iman, apakah kau sudi menjadi isteriku yang abadi?
Untuk pertama kalinya kulihat Rabiyatul Iman mengangguk, sejak aku bertemu dengannya. Wajahnya berseri sekali di dalam tudung labuhnya yang kelabu. Ajaib, dia begitu cantik sekali. Kenapa kini baru aku menyedarinya? Dia tersipu malu di bawah lambaian matahari senja yang begitu indah sekali.
Rabiyatul Iman tidak akan pernah hilang dari hidupku. Dia akan menjadi isteriku yang abadi sepanjang hayatku ini.
Serasa sesak nafasku ketika sepasang bibirku mengucup dahinya yang dingin. Kulihat dia sudah menutup matanya. Abadi selamanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan